SUNGAI PETANI, 22 November - Sekurang-kurangnya lima buah rumah musnah dalam kebakaran di Lorong 3, Taman Sri Impian, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, TPgB Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada Talian Mers 999, kira-kira pukul 2.49 pagi.
Beberapa buah jentera dan anggota dari BBP Sungai Petani dan BBP Aman Jaya diarahkan ke lokasi kebakaran.
"Sebaik tiba di lokasi, kebakaran melibatkan beberapa buah rumah. Operasi pemadaman di hadapan dan belakang premis dilakukan segera dengan dibantu pasukan bomba Sukarela.
Siasatan awal mendapati, kebakaran melibatkan lima buah rumah bersaiz 20 X 40 kaki persegi," katanya menerusi kenyataan.
Akibat daripada kebakaran itu, empat rumah musnah terbakar kira-kira 90%, manakala sebuah lagi dianggarkan terbakar sekitar 30 peratus dan tiga buah motorsikal turut musnah.
Kejadian turut menyebabkan seorang penghuni mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut dengan menaiki ambulance Bomba.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 6.53 pagi.