SERIAN, 28 Januari - Lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Bahagian Serian dan Samarahan sejak lewat petang tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, empat PPS dibuka di Bahagian Serian iaitu PPS Tebakang Bidayuh, Slabi Entukuh, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tebakang dan Balai Raya Betong Kanowit.
Sementara itu, sebuah PPS dibuka di Bahagian Samarahan iaitu PPS Dewan Mesra Simunjan.
Setakat pukul 9 malam tadi, proses pemindahan penduduk masih dijalankan.
Namun, jumlah penduduk dan Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, menerusi hantaran Angkatan Pertahanan Awam (APM) Serian di Facebook memaklumkan keadaan semasa di Kampung Krusen,Serian mendapati air semakin naik sehingga ke pinggang.
"Air telah naik sehingga setinggi 4 kaki dan tidak dapat di lalui kenderaan.
"Setakat ini dilaporkan tiada rumah penduduk yang terjejas," katanya.