KUANTAN, 7 Jun- Pemandu dan empat penumpang maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Jerantut Feri, Jerantut, tengah malam tadi.
Kemalangan yang dilaporkan berlaku pada pukul 12.39 tengah malam itu, menyebabkan dua mangsa tersepit, manakala tiga lagi tercampak keluar dari kereta.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Ikmal Ishak, 26 tahun; Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23 tahun; Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17 tahun; Mohd Azizul Hakimi Aziz Jaafar, 19 tahun dan Mohd Zulkifli Aziz Jaafar, 21 tahun, yang beralamat di Ulu Kinta dan Bota, Perak.
Menurutnya, pemandu dan dua penumpang MPV, terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita, dilaporkan cedera.
Mohd Razam berkata, susulan maklumat yang diterima, lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut telah ke lokasi kemalangan bagi menjalankan operasi menyelamat.
Semua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Manakala, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan.