PELABUHAN KLANG, 7 Jun - Sepasang suami isteri Gan Hon Tat, 32, dan Careen Man, 29, masih hilang selepas sebuah bot dinaiki enam individu terbalik di perairan Tanjung Harapan petang semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh, kejadian berlaku kira-kira 0.3 batu nautika dari Tanjung Harapan selepas bot dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.
"Tiga mangsa yang maut telah ditemukan iaitu Cheu Son Hin, 50, Darren Gan, 3, dan Fong Yong Sen, 29. Seorang terselamat iaitu Chang Yan Qin Alvin, 17, yang terselamat.
"Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kini giat dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru," ujarnya.
Turut memaklumkan, usaha menyelam akan dilakukan pihak Bomba memandangkan kemungkinan dua mangsa terperangkap dalam bot yang dipenuhi lumpur.
Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) turut ditubuhkan bagi menyelaras gerakan operasi di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan semasa melakukan aktiviti laut dan digalakkan memakai jaket keselamatan serta memantau keadaan cuaca.
Sebarang maklumat kecemasan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau terus menghubungi talian kecemasan 999.
Operasi CARILAMAT yang ditangguhkan semalam, disambung semula pada pukul 7.00 pagi tadi.