fb fb fb fb fb

Letusan Gunung Ruang :Sarawak gesa tambahan penerbangan

Foto Hiasan/Foto RTM

KUCHING, 20 April -Kerajaan negeri menggesa syarikat penerbangan untuk menyediakan penerbangan tambahan atau pesawat yang lebih besar bagi memastikan penumpang yang terkandas kembali ke destinasi masing-masing susulan kejadian bentukan awan abu di ruang udara Sarawak akibat letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan langkah ini penting kerana terdapat ramai penumpang terjejas yang masih menunggu penerbangan dijadualkan semula.

“Kementerian percaya terdapat ramai penumpang yang menunggu penerbangan yang dijadualkan semula, manakala kebanyakan jadual penerbangan sedia ada sudah penuh ditempah kerana musim perayaan,” katanya.

Tambahnya Kementerian Pengangkutan Sarawak, MOTS juga menasihatkan penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat terkini dan bantuan.

Dato’ Sri Lee menegaskan MOTS dan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan terus memantau keadaan dengan terperinci serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dijaga.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD