BENTONG, 20 Februari- Selepas tiga hari, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor yang hilang ketika beriadah di Air Terjun Lata Hammer dekat Jalan Lama Bentong-Gombak di sini pada Ahad ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, mangsa Muhamad Hafiz Khairul Azmi, 22, timbul di permukaan kira-kira jam 11.50 pagi iaitu kira-kira lima meter lokasi mangsa dipercayai lemas.
"Jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga melibatkan seramai 43 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari pelbagai agensi iaitu polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, mengikut statistik APM , mulai Januari tahun ini, sebanyak sembilan kes berkaitan lemas telah berlaku.
Menurutnya, kejadian lemas banyak berlaku di kawasan pantai seperti di Kuantan, Teluk Tongkang, Kuantan, Kampung Kuala Sat dan juga di Temerloh termasuk di Air Terjun Hammer ini.
"Ini kerana Monsun Timur Laut (MTL) masih belum tamat dan gelombang yang berombak yang kuat kerap berlaku di kawasan pantai berisiko mendatangkan kejadian tidak diingini.
"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati di kawasan lata dan sungai, serta berwaspada sekiranya berlaku kejadian ‘kepala air’ manakala ibubapa perlu kerap memantau pergerakan anak ketika musim cuti sekolah sekarang," katanya.