fb fb fb fb fb

Lelaki bakar isteri dihadapkan ke mahkamah

(FOTO RTM)

MANJUNG, 18 Julai- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung atas dua pertuduhan membunuh isterinya dan memasukkan dadah ke dalam badannya, minggu lalu.

Gabriel Subramaniam, 28 tahun, dituduh menyebabkan kematian isterinya, E.Komati, 33 tahun, di Ladang Walbrook, Sitiawan, antara pukul 6.30 petang hingga 7.00 malam pada 10 Julai lalu.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh manakala tiada jaminan ditawarkan kepadanya.

Dia didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret T.Kavita menetapkan 18 September depan untuk kes itu disebut semula untuk mendapatkan laporan pakar berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, Gabriel kemudiannya dituduh dengan sengaja memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya bertempat di Balai Polis Pantai Remis pada 6.40 petang 12 Julai lalu.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada jaminan diberikan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan 25 Oktober serta serahan laporan patologi di Mahkamah Majistret Pantai Remis.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menahan Gabriel pada 11 Julai lalu selepas disyaki bertindak kejam membakar isterinya akibat berang dituduh menagih dadah.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.


(FOTO RTM)

Media Baharu