fb fb fb fb fb

Lebih ramai guru bahasa Cina & Tamil akan dilatih

Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

SUNGAI SIPUT, 6 Oktober- Kerajaan bersetuju memberikan ruang tambahan kepada institusi latihan perguruan bagi melatih lebih ramai guru bahasa Cina dan Tamil, selain bahasa kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) melatih lebih ramai guru dalam mata pelajaran tersebut untuk dihantar ke sekolah-sekolah yang memerlukan.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan turut memutuskan murid bangsa India dan Cina yang memilih menguasai bahasa ibunda mereka di sekolah kebangsaan, perlu dipastikan penguasaan dalam bahasa tersebut dapat ditingkatkan.

"Kita di Malaysia mahu semua orang dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Kita sudah sepakat sejak sebelum kemerdekaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan, dan pada masa yang sama kita bersetuju meningkatkan penguasaan bahasa lain.

"Apa salahnya ramai yang menguasai bahasa Tamil, ramai yang menguasai bahasa Cina? Ini akan memberi manfaat kepada negara dan menghormati hak setiap rakyat untuk memilih menguasai bahasa ibunda mereka," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM