KUALA LUMPUR, 30 Januari- Bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 secara sekali bayar (one-off), memberi manfaat kepada lebih 5 juta orang murid di seluruh negara.
Menerusi tinjauan RTM, rata-rata ibu bapa memberikan reaksi positif terhadap pemberian itu dalam usaha meringankan beban mereka menjelang pembukaan sesi persekolahan pada Mac nanti.
"Pemberian bantuan RM150 itu dapat juga menampung perbelanjaan untuk anak-anak untuk mereka kembali ke sekolah nanti. Saya rasa RM150 itu berbaloi juga buat masa ini," kata Mohd Herwan Yunarlis.
"Dengan bantuan ini, dapatlah ibu bapa mengurangkan beban perbelanjaan anak-anak nak ke sekolah pada Mac nanti. Alhamdulillah, syukur," kata Mohd Helmi Abd Zaidi.
"Selain beli baju sekolah, dapat juga kita guna duit ini untuk bayar keperluan anak di sekolah contohnya buku-buku yang mereka pakai nantikan. Dengan bantuan kerajaan ini, kiranya kami amat bersyukurlah," kata Nursyimawati Nor kepada pemberita.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mula disalurkan pada Januari 2024.