Lebih 200 minuman percuma diagih di Bazar Ramadan Mata Ayer

FOTO RTM

MATA AYER, 10 Mac – Lebih 200 plastik minuman pelbagai perisa diagihkan secara percuma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Mata Ayer menerusi Program Kongsi Rezeki sempena bulan Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif tahunan bertujuan berkongsi rezeki dan menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
  • Dilaksanakan oleh Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan DUN Mata Ayer.
  • Program menekankan penglibatan golongan muda dalam sukarelawan dan kebajikan serta menganjur pelbagai aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan.

Inisiatif itu merupakan aktiviti tahunan bagi berkongsi rezeki dengan masyarakat, selain menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.

Program berkenaan dilaksanakan oleh Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer.

Menurut Penyelaras Program, Siti Berenee Yahaya, menerusi program kali ini lebih 200 minuman pelbagai perisa diagihkan kepada pengunjung bazar untuk berbuka puasa.

Beliau berkata, usaha tersebut merupakan pendekatan turun padang bagi menyantuni komuniti setempat, di samping mengukuhkan silaturahim serta beramah mesra dengan masyarakat, khususnya dalam kalangan umat Islam sepanjang Ramadan.

Selain itu, katanya, program berkenaan turut mengetengahkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti kesukarelawan dan kebajikan, sekali gus menjadi platform penting melahirkan generasi pemimpin masa depan yang peka terhadap keperluan masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai Program Kongsi Rezeki di Bazar Ramadan Mata Ayer.

Sementara itu, pelbagai program lain turut dianjurkan bagi mengimarahkan Ramadan di sekitar Mata Ayer, antaranya Program Kongsi Rezeki Masakan, Tadarus dan Khatam Al-Quran, sumbangan kepada asnaf dan anak yatim serta ziarah kasih kepada golongan memerlukan.