fb fb fb fb fb

Lebih 200 hadiri majlis kesyukuran Hari Keputeraan Sultan Nazrin

RAJA Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (kiri) berangkat pada majlis kesyukuran sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar/FOTO RTM

KUALA KANGSAR, 3 November - Lebih 200 jemaah menghadiri majlis kesyukuran sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun ini di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, di sini.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat pada majlis tersebut.

Berangkat sama, Raja Di-Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Turut hadir ke majlis kesyukuran berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat dipimpin Timbalan Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, diikuti tahlil dan doa selamat sebelum jemaah menunaikan solat Jumaat.

Raja Jaafar bersama para jemaah menunaikan solat Jumaat yang didahului dengan khutbah khas bertajuk ‘Peranan Dan Tanggungjawab Raja Pemerintah’ disampaikan oleh Imam Utama Masjid Ubudiah Badrul Husaini Baharudin.

Majlis kesyukuran diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak yang diputuskan pada Jumaat pertama dalam bulan November.

Majlis sama turut diadakan serentak di masjid seluruh negeri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD