IPOH, 3 November- Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak setakat pukul 2.00 petang tadi mula menunjukkan penurunan kepada 415 orang daripada 419 orang yang direkodkan tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, setakat ini lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tiga daerah yang terlibat.
Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak mencatat pengurangan dengan menempatkan 165 penduduk daripada 47 keluarga bagi 11 kawasan terjejas.
PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap pula merekodkan 51 penduduk terjejas daripada 14 keluarga.
Di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 100 orang daripada 24 keluarga, manakala PPS SK Alor Pongsu dengan 57 penduduk melibatkan 20 keluarga.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar di Hulu Perak pula kekal menempatkan 40 penduduk terjejas daripada 14 keluarga.