KUALA LUMPUR, 3 November- Seramai 502 penduduk daripada 136 keluarga terjejas banjir direkodkan di Perak dan Pahang melibatkan enam pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, setakat pukul 4.00 petang tadi.
Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merekodkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tiga daerah di Perak membabitkan 415 orang daripada 119 keluarga.
Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 165 penduduk daripada 47 keluarga, manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap merekodkan 51 penduduk daripada 14 keluarga.
Di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 100 orang daripada 24 keluarga, manakala PPS SK Alor Pongsu dengan 57 penduduk melibatkan 20 keluarga.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar di Hulu Perak pula kekal menempatkan 40 penduduk daripada 14 keluarga.
Di Cameron Highlands, Pahang, juga kekal menempatkan 87 penduduk terjejas daripada 17 keluarga di PPS Dor Sungai Ruil.