fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 penguat kuasa digerak pantau harga ayam

Fuziah Salleh (kiri) melakukan pemeriksaan harga barang di Pasar Awam Kajang, Selangor hari ini

KAJANG, 3 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan lebih 2,000 anggota penguat kuasa bagi memantau situasi harga ayam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, menjelaskan harga purata ayam bersih standard terkini ditetapkan pada RM9.50 selepas melakukan pemantauan semalam.

"Kita nak pastikan bahawa tiada peniaga yang ambil kesempatan untuk kos tersembunyi.

"Kalau sebelum ini ada kos untuk potong, jadi kita ingatkan kepada peniaga ikut harga bersih, tiada lagi harga untuk kos memotong yang 'tersembunyi' dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan harga barang di Pasar Awam Kajang di sini.

Tambah beliau, setakat ini ayam yang dijual oleh kebanyakkan peniaga masih pada kedudukan harga purata.

KPDN akan terus komited untuk memantau situasi harga ayam dan sekiranya terdapat peniaga yang mengambil keuntungan tidak munasabah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Pengguna juga terus disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya aplikasi mudah alih 'Price Catcher'.

SITI AISHAH BINTI MD ISA