REMBAU, 3 November-Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Majlis Daerah Rembau (MDR) bagi membaik pulih projek pencahayaan lampu jalan biasa kepada lampu jalan solar LED.
Ia melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun 2023 kepada MDR bernilai RM4.05 juta
Menurut Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, jumlah berkenaan meliputi peruntukan bagi penyiapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak RM2.15 juta, RM400,000 menaik taraf tiga projek sistem perparitan dan longkang dan RM500,000 bagi pembinaan baharu 25 unit Mykiosk di daerah berkenaan.
"Jadi kita memang meninjau dan memberi galakan kepada mana- mana PBT yang menunjukkan komitmen yang baik dan menunjukkan pencapaian yang bagus bagi tahun 2023.
"Peluang mereka untuk mendapatkan peruntukan tahun depan lebih cerah", katanya demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja program Sentuhan Kasih KPKT di sini.
Secara keseluruhan, RM45.11 juta peruntukan bagi butiran projek (BP – 1) diterima kerajaan Negeri Sembilan sehingga Oktober tahun ini.
Ia bagi pelaksanaan projek infrustruktur, sosio ekonomi, kemudahan awam seperti pembaikan cerun, parit, longkang, kolam takungan dan pembinaan mykiosk.
Terdahulu, Akmal turut meninjau status penyiapan projek PPR Rembau yang terbengkalai sejak September tahun lalu berikutan isu kelewatan penyerahan pencawang dan kerja – kerja penyiapan.
Projek berkeluasan 40.3 ekar dengan jumlah peruntukan RM129 juta dan mempunyai sebanyak 452 unit rumah itu dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan.