KUANTAN, 3 November - Bekalan dan harga ayam di Negeri Pahang didapati masih terkawal meskipun selepas kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi berkuat kuasa pada 1 November lalu.
Hasil pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang dalam tempoh dua hari sehingga semalam, tiada sebarang kesalahan dikesan berkaitan bekalan mahupun harga ayam di kesemua 11 daerah di negeri berkenaan.
Menurut Pengarah (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin, purata harga jualan bagi ayam di negeri itu berada dalam lingkungan RM6.99 sen sehingga RM9.40 sen sekilogram melibatkan premis pasaraya mahupun pasar basah.
"Setakat ini, kita mendapati harga di lapangan adalah RM6.99 per kilo yang paling rendah dan manakala yang paling tinggi masih lagi mengekalkan harga kawalan terdahulu walaupun subsidi di hapuskan pada harga RM9.40 sekilo", katanya di sini.
Tambah Jezlily, susulan penamatan subsidi berkenaan peniaga kini dilihat lebih tertumpu bersaing menawarkan harga terbaik kepada pengguna seterusnya membuka ruang kepada persekitaran harga ayam yang lebih kompetitif.
Kata Jezlily, seramai 137 orang pegawai penguat kuasa KPDN seluruh negeri Pahang kini digerakkan untuk turun padang setiap hari bagi memantau serta mengesan sebarang kesalahan berkaitan bekalan dan harga ayam ketika ini di samping kesalahan-kesalahan yang lain.
Jezlily turut menyarankan agar orang ramai membuat semakan perbandingan harga melalui aplikasi mudah alih 'Price Catcher' yang dibangunkan oleh (KPDN) bagi mendapatkan lokasi pasaraya yang menawarkan harga ayam lebih murah.