Lebih 154,000 murid berkeperluan pendidikan khas berdaftar dengan KPM

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh / FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Seramai 154,557 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) direkodkan berdaftar dengan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) setakat 31 Januari 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM komited menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif bagi MBPK di SPK dan sekolah arus perdana melalui PPKI dan PPI.
  • 127,005 murid mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi manakala 24,253 murid berada dalam Program Pendidikan Inklusif.
  • Sehingga 31 Januari 2026, pengisian jawatan guru pendidikan khas mencapai 93.3 peratus daripada peruntukan.
  • Dari guru yang diisi, 19,037 bertugas dalam PPKI termasuk 10,577 di sekolah rendah dan 8,460 di sekolah menengah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, seramai 127,005 murid mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), diikuti 24,253 murid dalam Program Pendidikan Inklusif (PPI) dan 3,299 murid di Sekolah Pendidikan Khas (SPK).

Beliau berkata KPM komited memastikan golongan MBPK menerima akses pendidikan berkualiti melalui penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Menurutnya, kemudahan tersebut disediakan sama ada di SPK mahupun di sekolah arus perdana menerusi pelaksanaan PPKI dan PPI.

Dalam pada itu, sehingga 31 Januari 2026, pengisian jawatan guru pendidikan khas mencatatkan kadar 93.3 peratus daripada keseluruhan 21,876 jawatan yang diperuntukkan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 20,420 jawatan telah diisi,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli di Dewan Negara, hari ini.

Tambah beliau, daripada jumlah guru yang mengisi jawatan berkenaan, seramai 19,037 orang merupakan guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Jumlah itu merangkumi 10,577 guru di sekolah rendah dan 8,460 guru di sekolah menengah.