KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Lebih 11,000 murid di kawasan Selangau, Sarawak menerima pelbagai bentuk bantuan persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi persekolahan 2025/2026, melibatkan enam skim utama dengan nilai keseluruhan jutaan ringgit.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, antara bantuan yang disalurkan termasuk Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) kepada 368 murid berjumlah lebih RM310,000, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang memanfaatkan 7,570 murid dengan peruntukan RM1.13 juta serta Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang memberi manfaat kepada 1,793 murid daripada keluarga miskin tegar dengan nilai hampir RM195,000
Selain itu, seramai 1,213 murid turut menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan peruntukan lebih RM921,000, manakala Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) bernilai lebih RM41,000 diberikan kepada 48 murid kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Wong, KPM juga membekalkan jaket keselamatan kepada murid yang menggunakan pengangkutan air, melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) St. Mark dan SK Kuala Lemai.
“KPM sentiasa komited untuk memastikan kebajikan semua murid terutama daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bantuan yang sewajarnya supaya tidak tercicir dalam pendidikan," katanya.
Beliau berkata, penyediaan 18 jenis bantuan persekolahan sama ada dalam bentuk umum atau khusus adalah bukti keprihatinan kerajaan bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa, di samping memastikan akses pendidikan yang lebih saksama di kawasan bandar mahupun luar bandar.