fb fb fb fb fb

Lebih 1,800 anggota, pegawai PDRM dikenakan tindakan tatatertib

Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) pada Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Awam ke-20 di UKM hari ini

BANGI, 7 September- Seramai 1,869 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2023 hingga Ogos lalu atas pelbagai kesalahan, termasuk jenayah dan salah laku.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata daripada jumlah itu, 175 pegawai dan anggota dibuang kerja atas kesalahan seperti pemerasan, penyalahgunaan dadah, serta terlibat dalam sindiket dadah.

"Bagi Januari hingga Julai tahun ini, 631 pegawai dikenakan tindakan tatatertib dan 36 daripadanya dibuang kerja. Pada tahun 2023, seramai 1,238 pegawai dikenakan tindakan, dengan 139 dibuang kerja," katanya.

Ayob Khan menegaskan tindakan ini dilaksanakan secara konsisten sebagai langkah menangani salah laku dalam kalangan warga PDRM.

Beliau  berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Awam ke-20 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA