KUALA LUMPUR, 13 April – Beberapa jalan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sempena lawatan rasmi Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia.
Menurut kenyataan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 17 laluan akan terlibat dalam penutupan penuh atau lencongan bermula 15 hingga 17 April bagi melancarkan pergerakan delegasi Presiden China itu.
"Penutupan tersebut dijangka berlangsung antara 30 hingga 45 minit bergantung kepada pergerakan delegasi sepanjang tempoh lawatan," menurut kenyataan JSPT.
Antara laluan yang terlibat melibatkan kawasan Dengkil, Putrajaya dan sekitar ibu negara.
Seramai 378 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengiringi orang kenamaan, mengawal lalu lintas serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya semasa lawatan rasmi itu berlangsung.
Sehubungan itu, JSPT menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mengelakkan laluan yang terlibat serta mematuhi arahan petugas di lapangan bagi memastikan kelancaran operasi.