PUTRAJAYA, 13 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak bertujuan untuk membalas dendam terhadap Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata naratif dendam tidak wajar dimainkan kerana Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkaitan isu tersebut dibentuk semasa pentadbiran Perdana Menteri Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Ini soal wilayah, dan mana mungkin (sesebuah wilayah atau kawasan) boleh diserahkan begitu sahaja. Prinsip ini penting, namun saya tidak mencadangkan apa-apa tindakan (kepada Mahathir). Serahkan sahaja kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan yang terbaik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, Presint 11 di sini hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir 20 minit di Medan Selera Presint 11 di sini sebelum merasmikan Laman Hadis 40 Imam Nawawi di surau berkenaan.