fb fb fb fb fb

Laporan insiden lelaki OKU maut digilis tren dihantar ke MOT, APAD

Mohd Azharuddin Mat Sah

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Laporan siasatan berhubung kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut digilis tren selepas terjatuh di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa pada 22 Februari lepas telah dihantar ke Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata laporan itu telah disiapkan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan selain mengesyorkan beberapa penambahbaikan supaya kejadian sama tidak berulang.

Pada masa sama beliau turut memaklumkan bahawa Prasarana menempatkan lebih ramai polis bantuan dan staf operasi di platform, terutamanya di stesen-stesen yang digunakan golongan OKU.

"Bagi penyelesaian jangka masa sederhana, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Jika boleh kami akan memasang sensor di platform supaya dapat memberi amaran jika (ada) sesiapa (berada) terlebih daripada kawasan bahaya.

"Bagi jangka masa panjang, kami akan memulakan proses memasang pintu platform automatik (PSD) seperti di stesen MRT (Transit Aliran Massa)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan petugas Rapid KL yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri di Hab Bas dan Rel Pasar Seni di ibu negara.

Dalam pada itu hampir 4,000 kakitangan Prasarana ditugaskan demi memastikan operasi perkhidmatan mengikut jadual sepanjang perayaan ini bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatannya termasuk LRT, MRT, dan bas.

"Kami juga memastikan kakitangan bertugas dan barisan hadapan sama ada di kaunter ataupun dari segi juruteknik, penyelenggaraan atau barisan hadapan keselamatan mencukupi sepanjang melakukan tugasan.

"Seperti yang boleh dilihat, polis bantuan sentiasa berada di platform," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI