fb fb fb fb fb

Langkawi di landasan tepat capai sasaran 3.5 Juta pelancong tahun 2025

Pulau pelancongan terkenal di utara, Pulau Langkawi berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 3.5 juta pelancong bagi tahun 2025/Foto hiasan/RTM

LANGKAWI, 6 Disember – Pulau pelancongan terkenal di utara, Pulau Langkawi berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 3.5 juta pelancong bagi tahun 2025.

Sehingga akhir November, jumlah kemasukan pelancong telah mencecah lebih 2.75 juta orang, atau 78.5 peratus daripada sasaran.

Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata pelbagai program telah dirancang bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan tersebut.

0612 KDH LANGKAWI PELANCONG 2Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin/RTM

Katanya, kempen Langkawi Special Deals menampilkan tawaran daripada tarikan pelancongan, hotel, premis makanan dan minuman (F&B), peruncit bebas cukai, pengendali pengangkutan, serta penyedia perkhidmatan pelancongan di pulau itu.

“Langkawi bersedia… untuk makluman semua, kita telah mengadakan promosi sejak bulan Oktober lagi dengan penglibatan pemain industri daripada Langkawi, termasuk syarikat penerbangan yang turut menganjurkan kempen promosi akhir tahun Langkawi Special Deals,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa Kejohanan Langkawi Half Marathon 2025 di Padang Matsirat, di sini yang memasuki edisi keempat dan berjaya menarik lebih 6,800 peserta, melebihi penyertaan edisi lalu seramai lebih 4,000 peserta.

Kejohanan itu terbahagi kepada dua kategori, iaitu Half Marathon 21.1 kilometer dan 10 kilometer, serta disertai peserta dari 34 negara, dengan peserta paling ramai daripada Indonesia (218 orang).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN