
KUALA LUMPUR, 5 April –Perancangan rapi serta langkah mitigasi yang berterusan dapat mengurangkan kesan fenomena El Nino dalam jangka masa panjang.
- Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah melalui agensi untuk mengurangkan impak El Nino dan menjamin keselamatan bekalan makanan negara.
- Penubuhan jawatankuasa bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat untuk memantau serta menganalisis kesan fenomena tersebut.
- Cuaca panas dan kering mengurangkan sumber air, menjejaskan penanaman serta keseluruhan rantaian bekalan makanan.
Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Johari Abdullah berkata, langkah itu bertujuan memastikan kelangsungan sektor pertanian negara, berikutan situasi cuaca yang tidak menentu yang menyebabkan pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh petani dan pihak berkaitan.
“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan impak fenomena tersebut dan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara terus terpelihara.
“Berdasarkan pengalaman lalu, kerajaan melalui pelbagai agensi telah melaksanakan langkah mitigasi yang lebih tersusun, termasuk penubuhan jawatankuasa bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat bagi memantau serta menganalisis kesan fenomena tersebut,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Keadaan cuaca panas dan kering akibat El Nino menyebabkan pengurangan sumber air, termasuk sungai, kolam, telaga, dan air bawah tanah, yang merupakan keperluan utama dalam aktiviti pertanian.
“Kekurangan sumber air bukan sahaja menjejaskan proses penanaman, malah memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan termasuk pengeluaran, penuaian, logistik dan pemasaran,” katanya.