fb fb fb fb fb

Laluan pertama ART Sarawak dijangka siap hujung 2025

FOTO SARAWAK METRO

KOTA SAMARAHAN, 6 Disember - Projek pembinaan laluan pertama bagi Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di sini dijangka siap pada hujung 2025, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata laluan yang dikenali sebagai Laluan Biru itu melibatkan perjalanan dari Rembus ke Riveria sepanjang 27.6 kilometer (km) dan operasi ART berkemungkinan dapat dimulakan awal 2026.

Menurutnya dua lagi laluan akan dibina adalah Laluan Merah yang menghubungkan Kuching Sentral dan Pending sepanjang 12.3km dan Laluan Hijau dari Pending ke Damai di Santubong sepanjang 30km.

"Pembinaan kesemua laluan berkenaan adalah di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang akan siap hujung 2027 dan ketiga-tiga laluan dijangka beroperasi pada 2028," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan itu di sini hari ini.

Buat masa ini, katanya sistem ART sedang menjalani ujian pembuktian konsep (POC) yang bermula sejak ia tiba dari China September lepas dan dalam tempoh itu sudah dinaiki lebih 2,500 penumpang.

"Maklumbalas yang diperoleh daripada mereka yang sudah menaikinya amat baik dan pada penghujung bulan ini semua maklumbalas yang diterima akan dikemukakan kepada kilang yang membuat sistem itu di China," katanya.

Lee berkata setiap laluan untuk ART ini akan turut dilengkapi sistem Keutamaan Isyarat Transit (TSP) yang memberikan keutamaan lalu lintas kepada tren ART di persimpangan lampu isyarat.

"Walaupun ART ini boleh beroperasi tanpa pemandu, kita masih akan sediakan pemandu sebagai langkah keselamatan," katanya. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN