fb fb fb fb fb

Kursus TikTok Pick: Perlis Pulse; bimbing usahawan perluas perniagaan menerusi media sosial

Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan ditemui pemberita pada Kursus TikTok Pick: Perlis Pulse di Kangar

KANGAR, 31 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menganjurkan Kursus TikTok Pick: Perlis Pulse bagi mempromosi, memperluaskan ruang pasaran dan meningkatkan pendapatan usahawan.

Seramai 50 usahawan bimbingan FAMA terpilih sebagai perintis pelaksanaannya yang julung kali diperkenalkan pihak FAMA dalam pemasaran produk usahawan di Perlis.

Menurut Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan, usaha digerakkan pihaknya itu hasil kerjasama dengan rakan strategik pemasaran e-dagang TikTok dan syarikat penghantaran City-Link.
 
Pemasaran di TikTok katanya turut memberi pendedahan kepada usahawan dalam mempelbagaikan akses pasaran dan menggalakkan inovasi dalam pemasaran agromakanan.
 
Selain itu, pemilihan platform e-dagang TikTok berikutan popularitinya yang semakin meningkat ketika ini, potensi melaksanakan kreativiti dalam pemasaran produk dan bersesuaian dengan trend masa kini.
 
"Agensi kerajaan terdapat beberapa limitasi. Limitasi itu daripada segi sumber, jadi apabila produk itu dapat dipasarkan secara terus, selain daripada kita boleh memanfaatkan perkhidmatan yang sedia ada di FAMA, kita boleh bertindak sebagai entiti yang membolehkan usahawan ini pergi dengan lebih jauh menerusi pemasaran yang dibuat oleh TikTok dan juga syarikat City-Link pada hari ini,"katanya.

Beliau memaklumkannya pada Kursus TikTok Pick: Perlis Pulse di Kangar, yang turut dihadiri rakan strategik FAMA iaitu Ketua Hubungan Strategik TikTok, Nur Azre Abdul Aziz dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan City-Link, Lim Chee Seng.

Kursus melibatkan 45 usahawan Industri Makanan dan Asas Tani termasuk industrI hiliran berkaitan Harumanis dan lima orang usahawan barangan segar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE