fb fb fb fb fb

KTMB tawar diskaun 50 peratus untuk ETS sepanjang Julai

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 7 Julai - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembelian tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) sepanjang bulan ini sebagai tanda penghargaan kepada penumpang perkhidmatan itu.

KTMB memaklumkan promosi khusus kepada warganegara Malaysia itu bertujuan memberi peluang penjimatan kepada orang awam serta merancakkan industri pelancongan dalam negara.

“Tawaran istimewa tersebut boleh digunakan bagi semua laluan ETS dari Padang Besar sehingga Gemas pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

"Pengguna boleh membuat pilihan pembelian perjalanan sama ada sehala atau dua hala untuk ke mana-mana destinasi ETS,” kata KTMB menerusi kenyataan.

(FOTO FAIL)

Pemberian diskaun melibatkan tarikh-tarikh tertentu khusus bagi tiket kategori dewasa dengan menggunakan kod promo mengikut tarikh iaitu pada 11 Julai (kod promo: TRAVELLOKALJULY11), 12 Julai (TRAVELLOKALJULY12), 13 Julai(TRAVELLOKALJULY13), 18 Julai (TRAVELLOKALJULY18).

Bagi tarikh 19 Julai (kod promo: TRAVELLOKALJULY19), 20 Julai (TRAVELLOKALJULY20), 25 Julai (TRAVELLOKALJULY25), 26 Julai (TRAVELLOKALJULY26) dan 27 Julai (TRAVELLOKALJULY27).

Sementara itu, bagi menghargai golongan warga emas KTMB turut menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM5 daripada jumlah tambang perjalanan bagi semua perkhidmatan ETS termasuk kelas perniagaan.

Menurut KTMB, promosi tersebut telah bermula sejak 1 Julai lepas dan boleh digunakan sehingga Disember ini.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai diskaun itu di laman sesawang www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Media Baharu