KUALA LUMPUR, 25 November – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pembatalan perkhidmatan tren MySawasdee No.1004 bagi perjalanan KL Sentral – Hat Yai pada 28 November 2025 dan MySawasdee No. 1005 bagi perjalanan Hat Yai – KL Sentral pada 1 Disember 2025.
- KTMB membatalkan perkhidmatan MySawasdee No.1004 dan No.1005 akibat landasan terjejas oleh banjir di Padang Besar–Hat Yai.
- Keputusan dibuat berdasarkan keselamatan dan pengesahan pihak berkuasa Thailand bahawa landasan belum selamat.
- 840 tiket ditawarkan; 652 penumpang belum membatalkan, 188 telah membatalkan awal.
- Pemulangan tambang penuh dikreditkan terus ke KTM Wallet; pembatalan dalam talian melalui aplikasi KITS.
- Jadual perkhidmatan akan diumumkan kelak; hubungi Pusat Panggilan KTMB 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut.
Ini Susulan situasi banjir yang menjejaskan operasi landasan di kawasan Padang Besar–Hat Yai, termasuk di Stesen Hat Yai,
Dalam satu kenyataan, KTMB memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan dan operasi, selain menerima pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand mengenai keadaan landasan yang masih belum selamat untuk digunakan.
“Sebanyak 840 tiket telah ditawarkan bagi kedua-dua perjalanan tersebut, namun setakat ini 652 penumpang masih belum membuat pembatalan. Bagi penumpang yang membeli tiket secara dalam talian, permohonan pembatalan boleh dibuat melalui aplikasi KITS.
“Pemulangan tambang penuh akan dikreditkan serta-merta ke dalam KTM Wallet untuk tujuan pembelian tiket pada masa akan datang,” menurut KTMB.
Sementara itu, 188 penumpang yang telah membuat pembatalan awal turut layak menerima baki pemulangan tambang mengikut ketetapan semasa.
KTMB turut menjelaskan jadual dan tarikh perjalanan seterusnya untuk perkhidmatan MySawasdee akan diumumkan dari semasa ke semasa.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para penumpang serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pihak sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan ini,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.