(Ahmad Maslan)
ROMPIN, 4 Disember- Barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu tidak dapat memuaskan hati semua pihak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengakui perkara itu bagaimanapun menganggap kritikan terhadap kabinet adalah perkara biasa dan masih ada ruang untuk diperbaiki.
"Tidak pernah satu kabinet pun yang tidak menerima kritikan. Dah berapa banyak kali kita melihat, mana ada satu perkara yang 100 peratus sempurna. Mesti ada pihak yang tidak bersetuju di sana sini.
"Secara keseluruhan, pada pendangan saya, kabinet itu boleh berfungsi dengan baik kerana ia mengambil komposisi-komposisi yang sesuai, wakil daripada BN-PH-GPS-GRS dan wakil daripada parti-parti kecil," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hierarki parti dan ia perlu dihormati semua pihak.
"Kita mengikut hierarki parti, hierarki jawatan dalam parti itu memberikan kestabilan kepada parti UMNO dan kerajaan yang ada. Jika kita memberikan kepada orang lain, selain Presiden (Ahmad Zahid), kestabilan itu agak tercabar," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.
Selain Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) menandatangani
surat cara pelantikan jawatan di Istana Negara/BERNAMA)