fb fb fb fb fb

KPWKM sasar 30 peratus penglibatan wanita dalam politik, pentadbiran negara

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Kementerian Wanita Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) menyasarkan sekurangnya 30 peratus penyertaan wanita ditingkatkan khusus dalam bidang politik dan urus tadbir negara termasuk sebagai calon pilihan raya.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, penglibatan golongan wanita dalam bidang politik mampu memperkasa kepimpinan wanita sekali gus merapatkan jurang jantina di Malaysia.

"Kepimpinan wanita dalam Dewan Rakyat sekarang ini hanya 14 peratus jauh lebih daripada apa yang kita sasarkan berdasarkan dasar wanita negara, sejak tahun 2004. Kita akan berusaha supaya ada 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar," kata Rina kepada RTM selepas merasmikan Program Forum Kepimpinan Wanita dalam Politik di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, KPWKM sentiasa memberi komitmen dalam mengoptimumkan potensi wanita serta menyuntik diversiti kepimpinan dan pentadbiran negara.

Pihaknya mengharapkan pemimpin parti politik menitikberatkan isu penglibatan golongan wanita dalam politik dan diberikan jawatan kepimpinan.

Forum anjuran kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) tersebut melibatkan 14 parti politik bagi membincangkan penglibatan dan pemerkasaan wanita dalam bidang politik terutama dalam calon pilihan raya.


(Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun ditemui media selepas merasmikan Program
Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik di sini, hari ini)

 

Media Baharu