PETALING JAYA, 8 Mac - 100 tokoh wanita akan dipilih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menerima dana berjumlah RM50,000 bagi memperkasa golongan itu dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu bakal dicerakinkan menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri untuk dilaksanakan pada bulan ini.
"Kalau benar iktiraf peranan wanita, saya nak bagi satu cabaran peringkat awal kita pilih 100 tokoh wanita dalam negara.
"Nancy akan cerakinkan kaedahnya dan putuskan bersama.
"Ini sebagai wahana mencari jalan, kegiatan idea dan saranan untuk 100 wanita itu dalam bulan ini dipilih. Kita akan berikan sumbangan khas setiap tokoh wanita ini RM50,000 untuk mereka mencari jalan dan kaedah meningkatkan peranan wanita", katanya pada ucapan perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini.
Jelasnya,inisiatif itu merupakan usaha di peringkat awal dan akan dipertingkatkan jumlah penyertaan dan dana sekiranya mendapat hasil yang positif.