KPT pastikan pelajar praktikal tidak jadi mangsa eksploitasi


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim/Foto Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pelajar yang menjalani latihan industi dipantau berterusan bagi menjamin keselamatan, kebajikan dan mengelakkan eksploitasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan berterusan oleh penyelia akademik dan industri melalui lawatan fizikal atau dalam talian serta semakan berkala.
  • Mekanisme membolehkan universiti mengambil tindakan segera sekiranya timbul isu membabitkan pelajar.
  • Pelajar diwajibkan menghadiri taklimat dan kursus persediaan termasuk keselamatan, KKP, pengurusan risiko, PPE dan saluran pelaporan.
  • Hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dipilih untuk latihan industri bidang berisiko tinggi, dan pelajar dilindungi insurans berkelompok universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pemantauan dilakukan penyelia akademik dan industri menerusi lawatan fizikal atau dalam talian serta semakan berkala.

Tambah beliau, mekanisme itu membolehkan universiti mengambil tindakan segera sekiranya timbul sebarang isu membabitkan pelajar.

“Kita siapkan dahulu pelajar tersebut dengan mewajibkan mereka mengikut taklimat dan juga kursus persediaan latihan industri sebelum ditempatkan di satu-satu organisasi. Jadi pelajar tersebut sudah pun kita persiapkan.

“Kita juga melihat bagaimana taklimat ini turut merangkumi aspek-aspek keselamatan dan juga kesihatan pekerjaan (KKP), pengurusan risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), prosedur kecemasan, hak dan tanggungjawab pelajar, etika profesional, serta saluran pelaporan jika sebarang insiden perlu dilaporkan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah pemantauan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menjamin keselamatan pelajar dan mengelakkan eksploitasi sepanjang menjalani latihan industri.

Tambah beliau, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dipilih bagi latihan industri dalam bidang berisiko tinggi.

Katanya, semua pelajar yang menjalani latihan industri turut dilindungi menerusi Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini sepanjang tempoh latihan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.