fb fb fb fb fb

KPT pantau keberadaan pelajar di Asia Barat

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR, 16 April- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau rapi keadaan pelajar-pelajar Malaysia di Asia Barat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pemantauan itu dilakukan melalui Kedutaan Besar Malaysia bagi memastikan keadaan pelajar di sana selamat dan terkawal.

"Kita tidak mempunyai sebarang maklumat yang mengatakan mereka ini berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun kita akan sentiasa memantau melalui Kedutaan Besar Malaysia.

"Kita perlu lakukan perkara itu bagi memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat walau di mana mereka berada, terutama sekiranya berlaku sebarang konflik. Langkah segera perlu dilakukan," katanya dalam satu rakaman video.

Zambry turut berharap pelajar-pelajar Malaysia di Asia Barat sentiasa memaklumkan keberadaan mereka kepada KPT melalui Kedutaan Besar Malaysia.

Selain itu, mereka juga perlu memaklumkan sekiranya memerlukan bantuan.

KPT sentiasa bersedia untuk memberi bantuan segera agar pelajar-pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

Berdasarkan rekod semasa, pelajar di Jordan seramai 1,872 orang, Syria (37 orang), Iran (lapan orang), manakala tiada pelajar Malaysia dilaporkan di Lubnan dan Iraq.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI