fb fb fb fb fb

KPN laksana 653 program tahun ini perkukuh perpaduan seluruh negara - Aaron Ago

KUALA LUMPUR, 5 Disember - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah melaksanakan sekurang-kurangnya 653 program pada tahun ini untuk memperkukuhkan lagi peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam komuniti di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, oleh itu sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada 8,400 KRT seluruh negara pada tahun hadapan.

Aaron berkata ia selaras dengan hasrat kementerian untuk berkongsi amanat dan hala tuju baharu KRT untuk memperkasa aktiviti penduduk sebagai penggerak masyarakat yang progresif.

"Dari segi KRT sahaja kita melihat bahawa di semua negeri mereka amat berminat dengan aktiviti (yang berkaitan)dari segi ekonomi dan sebab itu kita ingin memperkasakan KRT dengan memperbanyakkan lagi aktiviti ekonomi selain daripada kesihatan, persekitaran, kebersihan," katanya kepada RTM selepas ditemu bual dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kota Media hari ini.

Dalam pada itu, Aaron menyifatkan Lafaz ikrar Rukun Negara sebagai satu kejayaan selepas diluluskan Kabinet pada 25 Julai lalu.

Ikrar Rukun Negara dan diselaraskan di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan sebagai usaha menyemai taat setia dan rasa cintakan negara.

"Lafaz Rukun Negara turut dilakukan pada setiap kali majlis pembukaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Rakyat kini sudah faham apa erti perpaduan dan itu adalah salah satu pengisian untuk memenuhi program yang menjurus kepada perpaduan," jelasnya.

Katanya, semua aktiviti membabitkan program Rukun Negara akan digerakkan ke seluruh negara dengan kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan KRT dalam meningkatkan usaha ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN