KUALA LUMPUR, 3 Disember – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti pelaksanaan sistem pendaftaran digital bersepadu bagi anjing peliharaan menggunakan teknologi mikrocip bagi memperkemas rekod pemilikan dan kawalan pembiakan haiwan itu.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sistem berkenaan yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membolehkan data pemilikan, status kesihatan dan rekod pelesenan anjing direkodkan dan dipantau secara berpusat.
"Penggunaan mikrocip ini membolehkan semua data pemilikan dan status anjing, termasuk rekod pelesenan, vaksinasi, pemandulan serta pemantauan, direkodkan dan dipantau dari semasa ke semasa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid mengenai keperluan mewajibkan pemasangan mikrocip bagi mengawal pembiakan anjing serta memberikan kuasa jelas kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangkap dan mengurus populasi anjing liar.
Datuk Aiman Athirah turut menjelaskan kaedah tangkapan, tuntutan semula, adopsi, penyerahan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pelupusan merupakan pendekatan terbaik yang diguna pakai di kebanyakan negara bagi mengekang pertambahan anjing terbiar.
Dalam usaha menyokong kempen berkenaan, KPKT telah menyalurkan RM180,000 tahun lalu dan RM130,000 tahun ini kepada beberapa PBT terlibat, khususnya bagi pelaksanaan Kempen Pengurusan Anjing Terbiar.
Kempen itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab serta mengurangkan pembuangan anjing peliharaan yang menjadi punca pertambahan anjing liar.
Sepanjang tahun lalu, 37,538 aduan gangguan anjing terbiar diterima, dengan 15,815 operasi dilaksanakan dan 66,264 ekor anjing berjaya ditangkap dalam operasi bersepadu.
"Daripada jumlah itu, 19,354 ekor anjing diserahkan kepada JPV, dituntut semula pemilik atau diambil angkat melalui program adopsi," katanya.
Selain itu, anggota PBT terlibat turut diberi latihan berkaitan penggunaan peralatan secara beretika, kaedah tangkapan selamat serta pematuhan terhadap kebajikan haiwan bagi memastikan operasi dijalankan mengikut standard yang ditetapkan.
