
KUALA LUMPUR, 19 Januari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar sektor perumahan ditambah baik dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
- KPKT akan mengutamakan peningkatan mutu pembinaan dalam RMK13 supaya perumahan yang dibangunkan benar-benar berkualiti.
- Kejayaan RMK12 menjadi asas, tetapi RMK13 menuntut skor mutu pembinaan lebih tinggi melalui kerjasama semua pihak.
- Kerajaan MADANI dianggap berada di landasan tepat untuk memajukan sektor perumahan dan meningkatkan daya saing global.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata selain kejayaan pembinaan kira-kira 500,000 unit kediaman sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KPKT akan memberi tumpuan kepada peningkatan mutu pembinaan dalam RMK13.
“Dalam RMK13, KPKT akan mengangkat lagi mutu pembinaan dengan skor yang lebih tinggi supaya perumahan yang dibangunkan benar-benar berkualiti. Ini memerlukan kerjasama semua pihak dan saya yakin sasaran RMK13 dapat dicapai,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Seri Paduka Baginda yang menyentuh keperluan penambahbaikan sektor perumahan sebagai antara agenda penting pembangunan negara.
Nga turut berkata Kerajaan MADANI kini berada di landasan yang tepat untuk membawa Malaysia, khususnya sektor perumahan, ke tahap yang lebih baik dan berdaya saing di peringkat global.