fb fb fb fb fb

KPKM import dan edar 661 tan metrik kelapa tua, tampung bekalan negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengimport dan mengedarkan 661 tan metrik bersamaan 661,761 biji kelapa tua bernilai RM1.45 juta untuk menangani isu kekurangan bekalan kelapa.

KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan, bekalan akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran.

"Bekalan ini telah ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi FAMA Dengkil, Selangor; Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.

"Usaha ini akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil. Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia adalah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka," menurut kenyataan itu.

Sementara itu bagi langkah jangka panjang, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk penanaman semula dan penanaman baharu kelapa, penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).

Ke arah itu kerjasama dengan kerajaan negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran domestik.

Sejak 2016 LPP juga telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa di seluruh negara dengan keluasan seluas 643.42 hektar berkapasiti 123,426 pokok kelapa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI