SHAH ALAM, 6 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) optimis lebih banyak pengilang akan menyertai kempen Payung Rahmah bagi membantu peniaga yang terlibat dalam Menu Rahmah serta mengimbangi kos sara hidup di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini sebanyak dua pengilang terkenal telah turut serta iaitu Julie’s dan syarikat Linaco menerusi produk Rasaku.

"Jadi bila pengilang mula tampil untuk turut serta dalam inisiatif Payung Rahmah ini saya melihat ia jadi lebih mampan dan buatkan satu unjuran dengan komitmen diberikan bukan hanya vendor tetapi pengilang.
“Di peringkat pengilang, ini yang kedua dan kita akan adakan lebih banyak libat urus daripada pengilang, kita cuba dapatkan senarainya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Rasaku, di sini.
Tambah Salahuddin, penyertaan pengilang akan memudahkan para peniaga untuk terus mengekalkan Jualan Rahmah.