fb fb fb fb fb

KPDN Perlis sita barang kawalan berjadual bernilai lebih RM13,000

Foto: KPDN Perlis

KANGAR, 2 Ogos- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menyita barangan kawalan berjadual dianggarkan bernilai RM13,795.38 dalam serbuan di sebuah pasar raya di Padang Besar semalam.

Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar berkata serbuan dilakukan selepas dipercayai ia beroperasi tanpa lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah.

Jelasnya, barangan yang disita melibatkan 1,537 kilogram (kg) gula pasir, tepung gandum 1kg (1,136 peket), tepung gandum 850 gram (936 peket), minyak masak 2kg (141 botol) dan minyak masak 5kg (54 botol).

“Ketika pemeriksaan, penguat kuasa KPDN Perlis telah bertemu dengan pengurus pasar raya berkenaan bagaimanapun menghadapi kekangan susulan pengurus itu yang merupakan warganegara Nepal tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazah berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati peniaga premis perniagaan runcit itu gagal mengemukakan suatu lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia untuk berurus niaga barang kawalan berjadual iaitu gula pasir, minyak masak dan tepung gandum.

Susulan itu, beliau berkata satu tindakan kes telah diambil terhadap peniaga premis perniagaan runcit itu dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

ZEHRA BINTI ZAMBRI