fb fb fb fb fb

KPDN perkukuh promosi Menu Rahmah melalui program 'Jom Cari Menu Rahmah'

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh

PEKAN, 12 September -Sebanyak 3,106 premis makanan dan minuman di seluruh negara telah mendaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah setakat semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu 401 premis beroperasi di negeri Pahang.

Katanya, kerajaan melalui KPDN terus memperkukuh usaha mempromosikan Menu Rahmah menerusi program ‘Jom Cari Menu Rahmah’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan menu mampu milik di premis-premis terlibat.

Bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha menawarkan Menu Rahmah kerajaan turut memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.

"Kita ada 3,106 premis yang menawarkan Menu Rahmah. Jadi kita nak maklumkan kepada orang ramai bahawa Menu Rahmah ini ada, ada di hospital, ada di institusi pendidikan tinggi (IPT), ada di warung-warung supaya orang ramai sedar bahawa kerajaan sedang membuat sesuatu untuk bantu mereka dan kerajaan akan menyokong inisiatif yang begini.

"Dan kami berikan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah untuk peniaga-peniaga yang menawarkan Menu Rahmah ini membeli dengan diskaun di program-program jualan Rahmah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Jom Cari Menu Rahmah" di Warung RM5, Tanjung Gosong, Pekan.

Selain itu, peniaga yang berminat sebagai pengusaha Menu Rahmah boleh mendaftar melalui portal KPDN.

Ditanya berkaitan kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluaskan kepada barang mentah, beliau memaklumkan akan usulkan perkara itu kepada Kementerian Kewangan.

TETITIA YUSOFF