PEKAN, 9 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang melaksanakan 86,504 pemeriksaan dan mengambil tindakan terhadap 930 kes pelbagai kesalahan melibatkan sitaan berjumlah RM2.3 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November tahun ini.
Sepanjang tempoh hampir 11 bulan itu, KPDN Pahang menerima 1,108 aduan daripada pengguna, meliputi 430 aduan harga, 95 aduan berkaitan bekalan barang kawalan dan 583 aduan lain.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata nilai kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh sama berjumlah RM258,020.00
Menurut beliau kebanyakan kes membabitkan isu penandaan harga, alat timbang tidak sah dan ketidakpatuhan piawaian perniagaan.
“Di bawah inisiatif KITA GEMPUR, KPDN Negeri Pahang menyeru orang ramai untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pematuhan undang-undang perdagangan di pasar-pasar awam dengan melaporkan sebarang salah laku melalui pelbagai saluran yang kita sediakan.
“Penguatkuasaan berterusan ini penting bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang demi perlindungan pengguna dan persekitaran pasar yang selamat serta teratur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KPDN Pahang melaksanakan Program Walkabout dan Perasmian Program Pasar PATUH (3P) 2025 Peringkat Negeri di Pasar Besar Pekan, hari ini.
Beliau berkata program Pasar PATUH akan diperluaskan secara berperingkat ke pasar awam lain di seluruh negeri bagi mengukuhkan budaya kepatuhan dalam kalangan peniaga.
Program itu melibatkan kerjasama FAMA Pahang, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pahang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia sebagai usaha memperkemaskan pengurusan dan kebersihan pasar.
Setakat ini Pahang mempunyai 26 pasar utama menempatkan 1,050 premis di tujuh daerah termasuk Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut, Rompin, Bera dan Raub.