KUALA LUMPUR, 9 Disember - 26 syarikat telah dikenakan penalti berjumlah RM97.31 juta kerana terlibat dalam kartel tipuan bida berkaitan perolehan awam bernilai hampir RM500 juta.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi mengekang amalan tersebut yang menjejaskan persaingan pasaran serta kepentingan pengguna.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr. Fuziah Salleh, MyCC berperanan mengambil tindakan terhadap sebarang perjanjian atau pakatan anti-persaingan, termasuk kartel serta syarikat dominan yang menyalahgunakan kuasa pasaran mereka
"Bagi memerangi amalan tersebut, Akta 712 memperuntukkan kuasa jelas kepada MyCC untuk memulakan siasatan melalui tiga kaedah, iaitu inisiatif sendiri MyCC, arahan menteri yang berkaitan serta aduan yang diterima daripada pihak berkepentingan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Hussin Ismail berkenaan langkah
penguatkuasaan MyCC bagi membanteras amalan tipuan bida (bid rigging) dalam sektor swasta
yang turut menawarkan barangan dan perkhidmatan kepada rakyat serta kesiapsiagaan suruhanjaya itu memperluaskan tindakan penguatkuasaan.
Ketika ini, MyCC menumpukan penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap tiga jenis kartel utama, iaitu kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kartel dalam industri makanan dan produk pertanian, serta kartel dalam perkhidmatan asas pengguna.
Bagi memastikan kesiapsiagaan penguatkuasaan, MyCC turut memperkasa keupayaannya bermula 2025 dengan menambah 13 pegawai penyiasatan, memperuntukkan bajet khusus bagi penubuhan unit khas menangani tipuan bida, selain merancang pindaan Akta Persaingan bagi memperkukuh kuasa siasatan terhadap kartel.
Langkah penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan persaingan pasaran kekal adil dan telus demi melindungi pengguna serta mengukuhkan ekonomi negara.