fb fb fb fb fb

KPDN Melaka rekod 50 kes, langgar peraturan harga barang

Foto hiasan

CHENG, 25 Januari- Sebanyak 50 kes direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka melibatkan kesalahan berkaitan peraturan harga barang bagi tempoh 1 hingga 23 Januari tahun ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata daripada jumlah tersebut, 30 kes membabitkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Ini termasuk pencatutan harga melibatkan kafe dan kopitiam.

Kesalahan lain dikesan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Cap Dagang 2019.

"Kebanyakan adalah Akta Kawalan Bekalan (AKB) dan harga antipencatutan, tiada tanda harga, harga naik dan kita telah denda sebanyak RM34,000. Tidak sampai sebulan ini dah RM34,000. Lebih kurang 3000 premis telah kita periksa daripada seawal 1 Januari hingga sekarang", katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya terdapat kedai atau premis yang melanggar peraturan terutama berkaitan harga.

Sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina, seramai 40 penguat kuasa KPDN ditugaskan untuk membuat pemantauan di semua premis perniagaan di Melaka.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

ROSLINA BINTI DIN