KPDN laksana lebih 52,000 pemeriksaan sepanjang Ramadan

Pantau harga barang

KUCHING, 13 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan 52,375 pemeriksaan di seluruh negara sehingga 12 Mac lalu bagi memantau harga barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,027 aduan diterima berkaitan harga dan bekalan barangan sepanjang tempoh pemantauan.
  • 1,045 kes kesalahan direkodkan; 829 kompaun KOTS dikeluarkan melibatkan RM222,500.
  • Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan sebanyak RM7.95 juta.
  • Pemantauan Bazar Ramadan: 16,820 pemeriksaan dilaksanakan dengan 10 kes kesalahan dikesan.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,027 aduan telah diterima daripada orang ramai berkaitan isu harga dan bekalan barangan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 1,045 kes kesalahan direkodkan dengan 829 kompaun secara serta-merta (KOTS) dikeluarkan melibatkan jumlah RM222,500.

Selain itu, nilai keseluruhan barang rampasan yang disita dianggarkan berjumlah RM7.95 juta.

Operasi tersebut dilaksanakan menerusi Ops Pantau KPDN yang bermula pada 19 Februari hingga 20 Mac 2026.

Di Sarawak, sebanyak 4,838 pemeriksaan telah dijalankan sepanjang tempoh operasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, 53 aduan diterima dan 142 kes kesalahan direkodkan, dengan 115 kompaun KOTS dikeluarkan terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan.

Sementara itu, bagi pemantauan khusus di Bazar Ramadan, sebanyak 16,820 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara.

Setakat ini, 10 kes kesalahan direkodkan melibatkan dua kes masing-masing di Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Perak, manakala satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Putrajaya.