fb fb fb fb fb

KPDN jamin bekalan barangan keperluan mencukupi sempena Krismas

Pegawai penguatkuasa KPDN ditugaskan di lokasi-lokasi strategik bagi memantau aktiviti penjualan barangan keperluan semasa perayaan.

ALOR SETAR, 23 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memberi jaminan bekalan barangan keperluan di negeri itu mencukupi sempena perayaan Krismas tahun ini.

Di Kedah, daging kambing biri-biri bertulang import antara sembilan jenis barangan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 yang dilaksanakan bermula hari ini hingga 27 Disember. 

Selain itu, barangan lain termasuk tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, lobak merah, cili merah, ubi kentang import dari China, bawang merah besar import dan bawang kuning besar.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti pusat membeli belah bagi memantau aktiviti penjualan barangan keperluan semasa perayaan.

"Kewajipan untuk mengikuti harga tersebut dan meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan yang harganya terkawal dan memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran serta menggunakan alat timbang sukat yang ditentusahkan," katanya di pejabat KPDN Kedah di Anak Bukit, di sini.

Affendi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan dibawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

ZEHRA BINTI ZAMBRI