fb fb fb fb fb

KPDN halang akses 3,553 laman web langgar Akta Hak Cipta 1987

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapha

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Sebanyak 3,553 tindakan halangan akses ke atas laman sesawang telah dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapha berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan laman tersebut melanggar perundangan bawah Akta Hak Cipta 1987 khususnya cetak rompak bagi tempoh 2021 hingga Oktober lalu.

Manakala sebanyak 40 tindakan halangan akses juga dilaksanakan ke atas laman sesawang yang melakukan pelanggaran berkaitan penjualan barangan tiruan atau perkhidmatan secara dalam talian mahupun fizikal.

"Kaedah sekatan laman sesawang yang dilaksanakan merupakan kaedah yang pantas dan berkesan dalam membanteras aktiviti pengedaran cetak rompak digital. Ia juga dapat membantu mengurangkan kerugian yang dialami oleh pemilik hak cipta semasa pelancaran filem baharu dalam bentuk digital di medium internet.

"Bagi tahun 2021 hingga Oktober 2024, sebanyak 36 karya melibatkan 110 pautan telah dilaksanakan tindakan halangan akses oleh Kementerian ini dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan ISP bawah peruntukan Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata Dr Zaliha, di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, seramai 2,621 peniaga dan penjaja kecil mendapat manfaat daripada program Lestari Niaga sepanjang tahun 2023 dan 2024 menerusi pelaksanaan 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar.

Dr Zaliha memaklumkan, program itu akan diteruskan dengan cadangan pelaksanaan 20 projek yang dianggar melibatkan 1,300 penjaja. 

Jelasnya, DBKL akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan garis panduan dan kesejahteraan awam tetap terjaga termasuk memindahkan penjaja yang  beroperasi di bahu jalan dan kaki lima ke lokasi lebih sesuai.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa usaha yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Program Lestari Niaga adalah bertujuan menyusun semula penjaja dari lokasi yang tidak sesuai, ke dalam tapak gerai yang lebih formal dan teratur.

"Pendekatan ini bukan bertujuan menghapuskan penjaja tepi jalan secara keseluruhannya, tetapi memastikan mereka dapat terus berniaga dalam persekitaran yang lebih selamat dan bersih, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang mesra peniaga kecil," katanya.

TETITIA YUSOFF