PUTRAJAYA, 7 Januari - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa kos pengambilan Pembantu Rumah Asing (PRA) adalah terlalu tinggi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, menjelaskan kadar bayaran yang dikenakan kerajaan kepada majikan adalah rendah iaitu sebanyak RM1136.00 bagi pengambilan PRA kali pertama.
"Jumlah ini merangkumi kadar bayaran levi, visa mengikut negara, fi proses, bayaran Pas, wang jaminan dan beberapa bayaran lain yang berkaitan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, negara sumber yang dibenarkan bagi sektor PRA adalah tidak terhad kepada beberapa negara sahaja.
Tambahnya, majikan bebas memilih pembantu rumah asing dari sembilan buah negara.
Antaranya negara Filipina, Indonesia, India, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Kemboja, Nepal dan Laos.
"Setiap pengambilan PRA perlulah mematuhi syarat-syarat kelayakan yang digariskan seperti umur, jantina dan lulus pemeriksaan kesihatan oleh FOMEMA apabila tiba di negara ini," katanya.
Sehingga 31 Disember 2021, seramai 88,173 PRA yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai prosedur permohonan PRA serta lain-lain maklumat yang berkaitan dengan melayari portal rasmi Jabatan www.imi.gov.my atau media sosial rasmi JIM.