KUALA LUMPUR, 17 Januari- Kereta elektrik (EV) kini semakin menjadi pilihan utama dalam dunia automotif, bukan hanya kerana kelebihannya dalam mengurangkan jejak karbon tetapi juga kemajuan teknologi menjadikan ia kian mampu dimiliki oleh semua golongan.
Pakar Kuasa Elektrik dan Sistem Pemacu, Fakulti Kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ishak Aris menjelaskan masyarakat sering menganggap kereta elektrik hanya sesuai untuk golongan T20 disebabkan harga pembelian lebih tinggi berbanding kereta berasaskan bahan api fosil.
"Pada pandangan segelintir individu, harga pembelian kereta EV lebih tinggi berbanding dengan kereta berasaskan bahan api fosil walaupun kos kereta elektrik semakin menurun dengan kemajuan teknologi," katanya.
Namun, beliau berkata kos kereta elektrik yang semakin menurun ditambah kemajuan teknologi menjadikan ia lebih berpotensi untuk dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
Tambahnya jangka hayat bateri kereta elektrik bergantung kepada prestasi kereta kerana sistem mekanikal lebih ringkas dan memerlukan penyelenggaraan lebih rendah berbanding enjin pembakaran dalaman yang mempunyai banyak komponen bergerak.
Dalam pada itu, perkembangan terkini dalam teknologi bateri seperti pengenalan bateri solid-state semakin meningkatkan kecekapan tenaga kereta elektrik serta meningkatkan jarak pemanduan dan kestabilan bateri.
Ishak Aris berkata penggunaan bateri jenis lithium-ion pada kebanyakan kereta elektrik kini semakin digantikan dengan teknologi baru itu membolehkan pengecasan lebih pantas dan meningkatkan kecekapan keseluruhan kenderaan.
"Bateri solid-state menyokong lebih banyak kitaran cas tanpa penurunan prestasi yang ketara dan membolehkan pengecasan yang lebih pantas berbanding dengan bateri lithium-ion," katanya.
Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir turut mengulas mengenai potensi kereta elektrik dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga fosil.
Beliau berkata kereta elektrik tidak hanya menyumbang kepada pengurangan jejak karbon tetapi juga beroperasi dengan lebih senyap dan tidak menghasilkan pencemaran udara atau bunyi menjadikannya lebih mesra alam berbanding kenderaan konvensional.
"EV boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga fosil kerana konsep penggunaannya adalah tenaga bersih," katanya.