(Foto fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 29 April- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana 30 rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, Sudan ketika negara itu dilanda konflik, selamat tiba di tanah air semalam.
Menerusi akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama duta Malaysia ke Sudan, atas usaha dan kejayaan membawa pulang rakyat dengan segera demi keselamatan mereka," menurut kenyataan itu.
Setinggi penghargaan juga diberikan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan masjid-masjid yang melakukan solat hajat dan doa selamat bagi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu," tambah kenyataan tersebut.
(30 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air semalam)