
KUALA LUMPUR, 24 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju mengatur pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkembangan konflik Iran-Israel serta usaha memperkukuh hubungan dua hala.
- Perbualan telefon kedua pemimpin membincangkan isu semasa termasuk situasi serantau dan antarabangsa.
- Kedua-dua pemimpin menggesa keamanan; Malaysia menyokong segala usaha menuju perdamaian dan penyelesaian konflik tersebut.
- Penekanan pada diplomasi berterusan untuk meredakan ketegangan, melindungi nyawa orang awam dan membuka ruang rundingan bermakna.
Persetujuan itu dicapai menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin semalam yang turut menyentuh pelbagai isu semasa termasuk situasi serantau dan antarabangsa.
“Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat
“Kami berdua bersama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia menyokong segala usaha yang menjurus ke arah perdamaian dan penyelesaian konflik tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai konflik Iran-Israel dan menekankan kepentingan pendekatan diplomasi berterusan dalam meredakan ketegangan.
Tegas beliau, Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi Indonesia dalam meredakan konflik Iran-Israel.
“..(Ini) supaya ketegangan dapat diredakan, nyawa orang awam dilindungi, serta ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,” katanya.